Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri

YB DATUK SERI PANGLIMA SR. HAJI SAFAR BIN UNTONG, JP

Kejayaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah bergantung kepada pemboleh daya yang melibatkan penjawat awam negeri. Prinsip 3R iaitu Revitalise, React dan Responsible hendaklah diterapkan dalam gerak kerja bagi membolehkan perkhidmatan awam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk semua pelanggan seterusnya menginsankan penyampaian perkhidmatan (humanising service delivery) melalui empat (4) tonggak utama iaitu empati, inklusif, tepat dan responsif dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Oleh itu, cara kerja yang biasa ditransformasi kepada cara kerja yang luar biasa atau luar daripada kebiasaan. Keupayaan perlulah disiapsiagakan untuk memberikan perkhidmatan dalam situasi yang luar biasa seperti pandemik COVID-19 atau apa jua situasi yang berlaku di masa hadapan. Pada masa yang sama semua kita hendaklah bertindak balas bersesuaian dengan keadaan semasa dengan penuh tanggungjawab dan amanah serta mengadaptasinya dengan segera untuk memastikan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat direalisasikan.

Kerajaan Digital berteraskan 5A iaitu Accessible by Anyone, At Any Time, Any Where By Any Device adalah pemboleh daya utama untuk mentransformasikan sistem-sistem penyampaian penjawat awam. Pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh ekosistem sistem penyampaian hanya boleh berlaku apabila semua urusan dapat dilaksanakan dengan pantas, cekap dan berkesan. Sehubungan dengan itu, inovatif digital yang berpaksikan keperluan dan kehendak pelanggan hendaklah disediakan. Harapan saya agar inspirasi dan konsep kerajaan pintar ini dapat diadaptasi sepenuhnya oleh penjawat awam dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Semoga seluruh anggota penjawat awam mencapai prestasi yang membanggakan dan akan melakarkan kejayaan yang cemerlang dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.